Perjanjian Langganan Dalam Talian Microsoft

Perjanjian Langganan Dalam Talian Microsoft ini adalah antara entiti yang anda wakili atau jika tiada entiti sedemikian ditetapkan oleh anda dalam Portal, anda sendiri (“anda” atau “milik anda”) dan Microsoft Regional Sales Corporation (“Microsoft”, “kami”, “kita” atau “milik kami”) dan terdiri daripada terma dan syarat di bawah serta Dasar Penggunaan Boleh Diterima, Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian, SLA dan terma harga serta pembayaran yang disenaraikan pada Portal (bersama­sama, “perjanjian”). Ia berkuat kuasa pada tarikh kami berikan anda pengesahan pesanan pertama anda. Istilah utama didefinisikan dalam Bahagian 10.

1.            Umum.

a.     Hak Penggunaan. Kami memberikan anda hak untuk mencapai dan menggunakan Perkhidmatan Dalam Talian dan memasang serta menggunakan Perisian yang disertakan bersama Langganan anda, seperti yang dijelaskan lebih lanjut dalam perjanjian ini. Kami memelihara hak-hak lain.

b.    Penggunaan Boleh Diterima. Anda akan menggunakan Produk hanya mengikut Dasar Penggunaan Boleh Diterima. Anda tidak boleh melakukan pembalikan kejuruteraan, menyahkompilasi, membuka pemasangan atau mengatasi pengehadan teknikal dalam Produk, kecuali setakat ang dibenarkan oleh undang-undang yang diguna pakai, meskipun terdapat pembatasan ini. Anda tidak boleh menyewa, memajak, meminjam, memindahkan atau mengehoskan Produk atau sebarang bahagian daripadanya kepada atau untuk pihak ketiga.

c.     Kelayakan untuk versi Akademik, Kerajaan dan Bukan Keuntungan. Anda bersetuju bahawa jika anda membeli tawaran akademik, kerajaan atau bukan keuntungan, anda telah memenuhi keperluan kelayakan masing-masing sebagai institusi pendidikan (termasuk pejabat pentadbiran atau lembaga pendidikan, perpustakaan awam atau muzium awam) disenaraikan di http://www.microsoftvolumelicensing.com/DocumentSearch.aspx?Mode=3&DocumentTypeId=7 atau sebagai entiti yang memenuhi keperluan kelayakan kerajaan yang disenaraikan di http://www.microsoftvolumelicensing.com/DocumentSearch.aspx?Mode=3&DocumentTypeId=6 atau sebagai entiti yang memenuhi keperluan kelayakan bukan keuntungan yang disenaraikan di http://www.microsoftvolumelicensing.com/DocumentSearch.aspx?Mode=2&Keyword=nonprofit&Region=1. Microsoft memelihara hak untuk mengesahkan kelayakan pada bila-bila masa dan menggantungkan Perkhidmatan Dalam Talian jika keperluan kelayakan sedemikian tidak dipenuhi.

2.            Kerahsiaan.

Anda bersetuju bahawa anda akan mengendalikan reka bentuk dan prestasi Perkhidmatan Dalam Talian yang anda dapat capai hanya melalui capaian dilindungi kata laluan dan sebarang dokumentasi atau bahan yang kami sediakan kepada anda di bawah perjanjian ini secara sulit dan tidak boleh mendedahkannya kepada mana-mana pihak ketiga kecuali dalam pelanjutan perhubungan perniagaan pihak dengan satu sama lain. Jika anda pelanggan kerajaan, Bahagian ini tertakluk kepada keperluan rahsia perdagangan yang berkenaan, rekod awam dan undang-undang yang serupa.

3.            Pesanan, Harga, tempoh, penamatan dan penggantungan.

a.     Pesanan dan harga. Anda boleh membuat Pesanan di Portal untuk Tawaran Standard, Tawaran Penggunaan atau Tawaran Gabungan:

(i)    Untuk Tawaran Standard, anda boleh meningkatkan atau mengurangkan kuantiti Produk yang dipesan sepanjang Tempoh kecuali untuk Langganan yang anda beli menerusi kad langganan di luar Portal. Tempat yang ditambah pada Langganan akan tamat tempoh pada penamatan Tempoh asal. Jika anda mengurangkan kuantiti sepanjang Tempoh tertentu, kami mungkin mengenakan anda bayaran pembatalan untuk pengurangan kuantiti seperti yang diterangkan di bawah dalam bahagian yang bertajuk “Penamatan Langganan.”

(ii)   Anda boleh membuat Pesanan untuk Sekutu anda di bawah perjanjian ini dan memberikan hak pentadbir kepada Sekutu anda untuk menguruskan Produk mereka, walau bagaimanapun, Sekutu tidak boleh membuat Pesanan di bawah perjanjian ini. Anda juga boleh memperuntukkan lesen pihak ketiga kepada Perisian atau hak mencapai dan menggunakan Perkhidmatan Dalam Talian untuk digunakan oleh pihak ketiga tersebut dalam perniagaan dalaman anda. Jika anda memberikan sebarang hak kepada Sekutu atau pihak ketiga, Sekutu dan pihak ketiga tersebut hendaklah terikat dengan perjanjian ini dan anda bersetuju untuk bertanggungjawab secara bersama dan berasingan untuk sebarang tindakan Sekutu atau pihak ketiga tersebut yang berkaitan dengan penggunaan Produk oleh mereka.

b.    Harga dan Bayaran. Bayaran perlu dibayar dan mesti dibayar menurut terma harga dan bayaran di Portal. Untuk Tawaran Standard, paras harga adalah berdasarkan kuantiti Pesanan anda untuk Produk tertentu. Paras harga anda boleh dilaraskan jika kuantiti Produk dalam Langganan ditambah atau dikurangkan sepanjang Tempoh dan anda layak untuk paras harga lain (kecuali untuk Langganan yang anda beli menerusi kad langganan di luar Portal, yang mana harga adalah tetap kepada nilai kad langganan). Perubahan paras harga adalah bukan retroaktif dan perubahan dalam bayaran yang perlu dibayar untuk Langganan akan dibahagikan mengikut tempoh. Harga adalah tetap pada masa Pesanan pertama kali dibuat dan dikenakan sepanjang Tempoh tetapi tertakluk kepada perubahan pada permulaan sebarang pembaharuan Langganan. Untuk Tawaran Penggunaan, jadual harga dan jadual adalah berdasarkan pada penggunaan sebenar dan tertakluk kepada perubahan pada bila-bila masa selepas menerima notis. Berhubungan dengan sebarang tawaran yang tersedia secara percuma, peruntukkan dalam perjanjian ini berhubungan dengan harga, bayaran pembatalan dan pembayaran adalah tidak berkenaan.

c.     Pembaharuan.

(i)    Untuk Tawaran Standard, anda boleh memilih untuk memperbaharui Langganan secara automatik atau menamatkannya sewaktu tamat Tempoh. Pembaharuan automatik diprapilih. Anda boleh mengubah pilihan anda pada bila-bila masa sepanjang Tempoh. Jika Tempoh sedia ada adalah lebih panjang daripada satu bulan kalendar, kami akan memberikan anda notis bertulis mengenai pembaharuan automatik sebelum tamat Tempoh

(ii)   Untuk Tawaran Penggunaan, jadual harga dan jadual adalah berdasarkan pada penggunaan sebenar dan tertakluk kepada perubahan pada bila-bila masa selepas menerima notis.

(iii)  Langganan Percubaan tidak boleh diperbaharui.

d.    Cukai. Harga tidak termasuk sebarang cukai. Anda hendaklah membayar sebarang nilai ditambah yang berkenaan, barangan dan perkhidmatan, jualan atau cukai yang perlu dibayar berhubungan dengan sebarang Pesanan yang dibuat di bawah perjanjian ini dan yang kami dibenarkan mengutip daripada anda di bawah undang-undang berkenaan. Anda hendaklah bertanggungjawab untuk sebarang cukai setem yang berkenaan dan untuk semua cukai lain yang anda wajib bayar di bawah undang-undang termasuk sebarang cukai yang timbul daripada pengedaran atau peruntukkan Produk kepada Sekutu anda. Kami bertanggungjawab untuk semua cukai berdasarkan pendapatan bersih kami atau pemilikan harta kami. Jika sebarang cukai perlu ditahan pada bayaran yang anda buat kepada kami, kami boleh memotong cukai sedemikian daripada jumlah yang perlu dibayar kepada kami dan membayarnya kepada pihak berkuasa percukaian yang berkenaan, jika anda mendapatkan dan menghantar resit rasmi penahanan tersebut dengan segera dan dokumen lain yang kami minta sewajarnya untuk menuntut kredit cukai asing atau bayaran balik. Anda akan memastikan sebarang cukai yang ditahan diminimumkan setakat yang mungkin di bawah undang-undang berkenaan.

e.     Tempoh dan penamatan. Perjanjian ini akan kekal berkuat kuasa melainkan anda menamatkannya dengan memanggil sokongan pelanggan atau cara lain yang diterangkan di Portal melainkan untuk percubaan yang ditamatkan secara automatik. Penamatan hanya akan menamatkan hak anda untuk memperbaharui Langganan di bawah Pesanan sedia ada atau membuat Pesanan baru untuk Produk tambahan di bawah perjanjian ini. Setakat yang perlu untuk melaksanakan penamatan peruntukkan perjanjian ini, kedua-dua pihak menepikan sebarang hak mereka atau kewajipan yang mereka mungkin miliki, sekarang atau di masa hadapan di bawah sebarang undang-undang atau peraturan berkenaan, untuk meminta atau mendapatkan kelulusan, perintah, keputusan atau penghakiman di sebarang mahkamah untuk menamatkan perjanjian ini.

f.      Penamatan langganan. Anda boleh menamatkan Langganan pada bila-bila masa sepanjang Tempohnya, walau bagaimanapun, anda mesti membayar semua bayaran yang perlu dibayar dan belum dibayar sebelum penamatan berkuat kuasa.

(i)    Langganan Satu Bulan. Langganan dengan Tempoh satu bulan boleh ditamatkan pada bila-bila masa tanpa sebarang bayaran.

(ii)   Langganan Satu Tahun. Jika anda menamatkan Langganan dengan Tempoh satu tahun dalam masa 30 hari daripada tarikh pada mana Langganan berkuat kuasa atau diperbaharui, anda mesti membayar untuk 30 hari pertama Langganan tersebut. Tiada bayaran perlu dibayar untuk bahagian Langganan yang ditamatkan. Jika anda menamatkan Langganan pada sebarang masa lain sepanjang Tempoh, anda mesti membayar 25% bayaran Langganan tersebut yang sepatutnya dibayar untuk baki Tempoh satu tahun. Perkara yang dinyatakan di atas tidak berkenaan dengan penamatan Langganan yang anda beli menerusi kad langganan di luar Portal, untuk yang mana tiada bayaran balik akan disediakan oleh Microsoft.

(iii)  Kesan penamatan atau tamat tempoh pada Perisian. Jika perjanjian ini atau Langganan ditamatkan atau tamat tempoh dan anda tidak melaksanakan opsyen pembelian yang tersedia untuk Perisian anda, maka anda mesti memadamkan semua salinan Perisian yang dilesenkan di bawah perjanjian ini, memusnahkan sebarang media berkaitan dan memberikan perakuan bertulis mengenai pemadaman dan pemusnahan sedemikian.

g.    Penggantungan. Kami boleh menggantungkan penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian anda jika: (1) anda gagal memberi respons kepada dakwaan pelanggaran di bawah Bahagian 5 dalam tempoh masa yang sewajarnya; (2) anda tidak membayar jumlah yang perlu dibayar di bawah perjanjian ini; atau (3) anda melanggar Dasar Penggunaan Boleh Diterima. Penggantungan akan dikenakan pada bahagian minimum yang diperlukan bagi Perkhidmatan Dalam Talian dan akan berkuat kuasa hanya apabila keadaan atau keperluan wujud. Kami akan memberikan notis sebelum kami membuat penggantungan, kecuali di mana kami percaya sewajarnya bahawa kami perlu membuat penggantungan segera. Kami akan memberikan notis sekurang-kurangnya 30 hari sebelum penggantungan kerana tidak membuat pembayaran. Jika anda tidak menyelesaikan sepenuhnya sebab penggantungan dalam masa 60 hari selepas kami membuat penggantungan, kami boleh menamatkan Langganan anda. Kami juga boleh menamatkan Langganan anda jika penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda digantung lebih daripada dua kali dalam sebarang tempoh 12 bulan.

4.            Waranti.

a.     Waranti terhad.

(i)    Perkhidmatan Dalam Talian. Kami menjamin bahawa Perkhidmatan Dalam Talian akan memenuhi terma SLA sepanjang Tempoh. Remedi anda untuk pelanggaran waranti ini adalah seperti yang di dalam SLA sahaja.

(ii)   Perisian. Kami menjamin untuk satu tahun mulai tarikh penggunaan pertama Perisian oleh anda bahawa ia akan berfungsi sebahagian besarnya seperti yang diterangkan di dalam dokumen pengguna yang berkenaan. Jika Perisian gagal untuk memenuhi waranti ini, kami akan di bawah pilihan kami sama ada (1) mengembalikan harga yang dibayar untuk Perisian atau (2) memperbaiki atau menggantikan Perisian.

b.    Pengecualian waranti terhad. Waranti terhad ini adalah tertakluk kepada pengehadan berikut:

(i)    sebarang waranti, jaminan atau syarat yang tersirat yang tidak dapat dinafikan sebagai hal ehwal undang-undang akan kekal selama satu tahan mulai permulaan waranti terhad tersebut;

(ii)   waranti terhad ini tidak merangkumi masalah yang disebabkan oleh kemalangan, penyalahgunaan atau penggunaan Produk secara yang tidak konsisten dengan perjanjian ini, atau yang disebabkan oleh peristiwa di luar kawalan munasabah kami;

(iii)  waranti terhad ini tidak berkuat kuasa pada masalah yang disebabkan oleh kegagalan untuk memenuhi keperluan minimum sistem; dan

(iv)  waranti terhad ini tidak berkenaan dengan Produk percuma, percubaan, prakeluaran atau beta.

c.     PENAFIAN. Selain daripada waranti ini, kami tidak menyediakan sebarang waranti nyata atau tersirat, sama ada nyata, tersirat, statutori, atau sebaliknya, termasuk waranti kebolehdagangan atau kesesuaian untuk tujuan tertentu. Penafian ini akan digunakan kecuali setakat yang tidak dibenarkan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

5.            Pertahanan terhadap tuntutan.

a.     Pertahanan.

(i) Kami akan mempertahankan anda terhadap sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga yang tidak bersekutu bahawa Produk melanggar paten, hak cipta atau tanda dagangannya atau menggunakan rahsia dagangannya secara tidak sah.

(ii) Anda akan mempertahankan kami terhadap sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga tidak bersekutu bahawa sebarang Data Pelanggan atau perisian bukan Microsoft yang anda sediakan secara langsung atau tidak langsung semasa menggunakan Produk melanggar paten, hak cipta atau tanda dagangan pihak ketiga atau menggunakan rahsia dagangannya secara tidak sah melanggar Dasar Pengguna Boleh Diterima.

b.    Batasan. Kewajipan kami dalam Bahagian 5a tidak berkenaan dengan tuntutan atau award berdasarkan pada: (i) Data pelanggan, perisian bukan Microsoft, pengubahsuaian yang anda buat pada Produk, atau bahan yang anda berikan atau sediakan sebagai sebahagian daripada penggunaan Produk; (ii) gabungan Produk oleh anda dengan, atau kerugian berdasarkan nilai produk bukan Microsoft, Data Pelanggan atau proses perniagaan; (iii) penggunaan tanda dagangan Microsoft oleh anda tanpa keizinan bertulis nyata kami, atau penggunaan Produk oleh anda selepas kami memaklumkan anda untuk berhenti menggunakannya disebabkan tuntutan pihak ketiga; atau (iv) pengedaran semula Produk oleh anda kepada, atau penggunaan untuk manfaat mana-mana pihak ketiga yang tidak bersekutu; atau (v) Produk disediakan secara percuma.

c.     Remedi. Jika kami percaya sewajarnya bahawa tuntutan di bawah Bahagian 5a(i) boleh menghalang penggunaan Produk oleh anda; kami akan berusaha untuk: (i) mendapatkan hak untuk anda terus menggunakannya; atau (ii) mengubahsuai atau menggantikannya dengan produk dengan fungsi yang setara dan memaklumkan anda untuk berhenti menggunakan versi terdahulu Produk. Jika opsyen ini tidak wajar dari segi komersial, kami boleh menamatkan hak penggunaan Produk oleh anda dan kemudian memulangkan sebarang bayaran pendahuluan untuk hak Langganan yang belum digunakan.

d.    Kewajipan. Setiap pihak mesti memaklumkan pihak lain dengan segera mengenai tuntutan di bawah Bahagian ini.

(i) Pihak yang inginkan perlindungan mestilah (1) memberikan pihak satu lagi kawalan mutlak terhadap pertahanan dan penyelesaian tuntutan; dan (2) memberikan bantuan sewajarnya dalam mempertahankan tuntutan.

(ii) Pihak yang memberikan perlindungan akan (1) membayar balik pihak satu lagi untuk bayaran perbelanjaan wang sendiri yang sewajarnya yang dikeluarkannya dalam memberikan bantuan tersebut dan (2) membayar amaun sebarang penghakiman akhir akibat kekalahan atau penyelesaian. Hak pihak untuk pertahanan dan bayaran penghakiman atau penyelesaian pihak di Bahagian 5 ini adalah sebagai ganti kepada sebarang undang-undang am atau hak statutori perlindungan atau hak serupa dan setiap pihak mengetepikan undang-undang am atau hak statutori sedemikian.

6.            Batasan liabiliti.

a.     Batasan. Agregat liabiliti bagi setiap pihak di bawah perjanjian ini adalah terhad kepada pampasan langsung sehingga (1) untuk Perisian, amaun yang anda perlu bayar untuk Perisian yang membangkitkan liabiliti tersebut (2) untuk Perkhidmatan Dalam Talian, amaun yang dibayar di bawah perjanjian ini untuk Perkhidmatan Dalam Talian yang membangkitkan liabiliti tersebut sepanjang 12 bulan sebelum liabiliti ditimbulkan dan (3) untuk Produk yang disediakan secara percuma, Lima Ribu Dolar Amerika ($5,000.00 USD).

b.    PENGECUALIAN. Kedua-dua pihak tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan pendapatan atau kerugian tidak langsung, khas, sampingan, berturutan, punitif atau sebagai teladan, walaupun pihak mengetahui ia boleh dikenakan.

c.     Pengecualian kepada batasan. Batasan liabiliti dalam Bahagian ini digunakan setakat penuh yang diizinkan oleh undang-undang yang berkenaan, tetapi tidak digunakan terhadap: (1) kewajipan pihak di bawah Bahagian 5; atau (2) pelanggaran hak harta intelektual pihak lain.

7.            Mengesahkan pematuhan untuk Perisian.

Sepanjang Tempoh dan selama tiga tahun selepas itu, anda mesti menyimpan semua rekod biasa dan wajar berkaitan dengan Langganan dan penggunaan Produk oleh anda. Kami boleh meminta anda menjalankan audit dalaman bagi semua Produk yang anda gunakan, membandingkan bilangan Langganan yang digunakan kepada bilangan Langganan yang dikeluarkan kepada anda dan/atau anda bayar. Dengan meminta audit, kami tidak menepikan hak kami untuk menguatkuasakan perjanjian ini atau untuk melindungi harta intelektual melalui sebarang cara lain yang dibenarkan undang-undang.

Jika penentusahan atau audit kendiri mendedahkan sebarang penggunaan tanpa lesen, anda mestilah memesan lesen yang mencukupi dengan segera untuk meliputi penggunaan masa lalu dan semasa anda. Jika penggunaan material tanpa lesen ditemui, anda mestilah membayar balik kami kos yang kami hadapi semasa penentusahan dan membeli lesen tambahan yang diperlukan pada kos lesen jualan dalam masa 30 hari.

8.            Perisian.

a.     Lesen yang dibeli. Kami memberikan anda lesen untuk bilangan salinan Perisian yang anda pesan. Kami turut memberikan anda hak untuk menggunakan versi (lama) terdahulu Perisian anda sebagai ganti kepada versi yang anda lesenkan jika kami menentukan hak ini dalam Hak Penggunaan Dalam Talian.

b.    Perisian Tambahan untuk digunakan bersama Perkhidmatan Dalam Talian. Untuk mendayakan capaian dan penggunaan optimum Perkhidmatan Dalam Talian tertentu, anda boleh memasang dan menggunakan Perisian tertentu berhubungan penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda. Bilangan salinan Perisian yang anda dibenarkan menggunakan atau bilangan peranti pada mana anda dibenarkan menggunakan Perisian akan diterangkan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian dalam terma lesen khusus produk untuk Perkhidmatan Dalam Talian. Kami boleh menyemak versi Perisian yang anda gunakan dan mengesyorkan atau memuat turun kemas kinian, dengan atau tanpa notis, ke peranti anda. Kegagalan untuk memasang kemas kinian boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menggunakan fungsi tertentu Perkhidmatan Dalam Talian. Anda mesti membuang pemasangan Perisian apabila hak anda untuk menggunakannya tamat. Anda juga boleh menyahdayakannya pada bila-bila masa.

c.     Apabila lesen menjadi berterusan. Melainkan anda mendapatkan lesen berterusan di bawah opsyen pembelian terus, lesen kepada Perisian yang diperoleh di bawah terma ini hanya sepanjang Tempoh. Sebarang rujukan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian untuk menjalankan Perisian pada dasar berterusan hanya berkenaan jika anda membayar lesen berterusan.

d.    Pematuhan lesen. Bukti lesen Perisian anda adalah (1) perjanjian ini, (2) sebarang pengesahan Pesanan, (3) dokumentasi yang membuktikan pemindahan lesen (untuk sebarang pemindahan yang dibenarkan) dan (4) bukti pembayaran.

e.     Hak lesen tidak berkaitan dengan pemenuhan media Perisian. Pemerolehan media Perisian atau capaian kepada sumber rangkaian oleh anda tidak mempengaruhi lesen anda kepada Perisian yang diperoleh di bawah perjanjian ini. Kami melesenkan Perisian kepada anda, kami tidak menjualnya.

f.      Salinan. Anda boleh membuat sebanyak mana salinan Perisian yang anda perlukan untuk mengedarkannya secara dalaman hanya jika anda mempunyai lesen sah untuk setiap salinan tersebut. Salinan Perisian yang anda buat mestilah salinan lengkap (termasuk notis hak cipta dan tanda dagangan) dan dibuat dari media atau sumber rangkaian yang dibenarkan Microsoft. Anda boleh menggunakan pihak ketiga untuk membuat dan memasang salinan ini, tetapi anda bersetuju untuk bertanggungjawab terhadap tindakan pihak ketiga tersebut. Anda mestilah menggunakan usaha wajar untuk memaklumkan semua orang yang anda benarkan menggunakan Perisian bahawa ia dilesenkan daripada kami dan tertakluk kepada terma perjanjian ini.

g.    Hak untuk pengimejan semula Perisian. Dalam keadaan tertentu, anda boleh mengimejkan semula Perisian pada peranti menggunakan media Perisian. Jika anda memperoleh Perisian (1) daripada pengeluar kelengkapan asli (OEM), (2) sebagai pakej Perisian lengkap menerusi sumber jualan, atau (3) di bawah program Microsoft lain, anda boleh menggunakan media yang disediakan kepada anda di bawah perjanjian ini untuk mencipta imej untuk digunakan sebagai ganti kepada salinan yang disediakan menerusi sumber berasingan tersebut. Anda mempunyai hak ini jika:

(i)    Anda mempunyai lesen yang sah dari sumber berasingan tersebut untuk setiap salinan Perisian yang diimej semula;

(ii)   Perisian, bahasa, versi dan komponen salinan adalah sama dengan produk perisian, bahasa, versi dan semua komponen salinan yang digantikannya dan bilangan salinan atau tika Perisian yang diimej semula yang diizinkan kekal sama;

(iii)  Kecuali untuk salinan sistem pengendalian dan salinan Perisian yang dilesenkan di bawah program Microsoft lain, jenis Perisian (cthnya lesen naik taraf atau penuh) adalah sama dengan jenis Perisian daripada sumber berasingan;

(iv)  Anda mematuhi sebarang keperluan khusus untuk pengimejan semula yang dinyatakan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian; dan

(v)   Anda bersetuju bahawa imej yang dibuat di bawah subbahagian ini kekal tertakluk kepada terma dan hak penggunaan yang disediakan bersama Perisian daripada sumber berasingan.

Subbahagian ini tidak mencipta atau melanjutkan sebarang waranti atau kewajipan sokongan.

h.    Memindahkan dan memperuntukkan lesen. Pemindahan lesen tidak dibenarkan, kecuali bahawa anda boleh memindahkan lesen berterusan yang dibayar penuh kepada:

(i)    Sekutu; atau

(ii)   pihak ketiga yang berhubung langsung dengan pemindahan perkakasan atau pekerja kepada siapa lesen telah diperuntukkan sebagai sebahagian daripada (1) penyahlaburan Sekutu atau divisyen Sekutu atau (2) penggabungan yang melibatkan Pelanggan atau Sekutu.

Anda mesti memaklumkan Microsoft mengenai pemindahan lesen dengan melengkapkan borang notis pemindahan yang boleh diperoleh daripada http://www.microsoft.com/licensing/contracts dan menghantar borang yang dilengkapkan kepada Microsoft sebelum pemindahan lesen. Tiada pemindahan Lesen akan menjadi sah melainkan anda memberikan kepada penerima pindahan dan penerima pindahan menerima secara bertulis, Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian, pembatasan penggunaan, pengehadan liabiliti (termasuk pengecualian dan peruntukkan waranti) dan batasan pemindahan yang diterangkan dalam bahagian ini. Sebarang pemindahan lesen yang dibuat secara tidak mematuhi bahagian ini akan terbatal.

i.      Lesen sistem pengendalian desktop yang layak. Lesen untuk perisian sistem pengendalian desktop yang tersedia di bawah perjanjian ini adalah lesen naik taraf sahaja (“Lesen Naik Taraf OS”), bukan lesen penuh. Semua komputer anda yang akan menjalankan Lesen Naik Taraf OS mestilah dilesenkan untuk menjalankan salah satu sistem pengendalian desktop yang layak yang dinyatakan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian

Anda boleh memperuntukkan semula Lesen Naik Taraf OS secara dalaman dari komputer asal ke komputer gantian dalam entiti anda, asalkan (1) komputer gantian dilesenkan kepada anda untuk menjalankan sistem pengendalian yang layak sepenuhnya yang dinyatakan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian, (2) andan mengalih keluar sebarang perisian Lesen Naik Taraf OS dari komputer asal dan (3) peruntukan semula tersebut bukan dalam masa 90 hari daripada peruntukan semula terakhir.

9.            Pelbagai.

a.     Notis. Anda mesti menghantar notis melalui pos ke alamat di bawah.

Notis mesti dihantarkan ke:

Salinan mesti dihantarkan ke:

Microsoft Regional Sales Corporation

Dept. 551, Volume Licensing

438B Alexandra Road, #04-09/12, Block B

Alexandra Technopark

Singapore 119968

 

Microsoft Corporation

Legal and Corporate Affairs

Volume Licensing Group

One Microsoft Way

Redmond, WA 98052

USA

Melalui Faks: (425) 936-7329

Kami boleh menge-melkan notis kepada pentadbir akaun yang anda kenal pasti. Notis berkuat kuasa pada tarikh yang terpapar pada resit pemulangan atau untuk e-mel, bila dihantar. Anda bertanggungjawab untuk memastikan bahawa alamat pentadbir akaun yang anda tentukan dalam Portal adalah tepat dan terkini dan anda bersetuju bahawa sebarang notis e-mel yang kami hantar ke alamat e-mel sedemikian akan berkuat kuasa semasa dihantar, sama ada anda menerima atau tidak e-mel tersebut.

b.    Penyerahan. Anda tidak menugaskan perjanjian ini sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya.

c.     Persetujuan kepada bayaran rakan kongsi. Apabila anda membuat pesanan, anda boleh mengenal pasti “Rakan Rekod” yang dikaitkan dengan Langganan anda. Dengan mengenal pasti Rakan Rekod, secara langsung atau dengan membenarkan pihak ketiga untuk berbuat demikian, anda bersetuju kepada kami membayar bayaran kepada Rakan Rekod. Bayaran adalah untuk sokongan prajualan dan mungkin juga termasuk sokongan selepas jualan. Bayaran adalah berdasarkan pada dan meningkat dengan saiz Pesanan anda. Harga kami untuk Produk adalah sama, sama ada anda mengenal pasti Rakan Rekod.

d.    Kebolehasingan. Jika sebarang bahagian perjanjian ini didapati tidak dapat dikuatkuasakan, baki perjanjian akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

e.     Penepian. Kegagalan untuk menguatkuasakan sebarang peruntukan perjanjian tidak mewakili penepian.

f.      Tiada agensi. Kami adalah kontraktor bebas. Perjanjian ini tidak mewujudkan agensi, perkongsian atau usaha sama.

g.    Tiada benefisiari pihak ketiga. Tiada benefisiari pihak ketiga kepada perjanjian ini.

h.    Undang-undang dan tempat yang berkenaan. Perjanjian ini ditadbir oleh undang-undang Washington, tanpa mengambil kira prinsip percanggahan undang-undangnya. Tertakluk kepada bahagian (i) dan (ii) di bawah, jika kami mengambil tindakan untuk menguatkuasakan perjanjian ini, kami akan membawanya dalam bidang kuasa di mana anda beribu pejabat. Jika anda mengambil tindakan untuk menguatkuasakan perjanjian ini, anda akan melakukannya di State of Washington, Amerika Syarikat. Pilihan bidang kuasa ini tidak menghalang mana-mana pihak daripada mendapatkan relief injunksi berhubungan dengan pelanggaran hak harta intelektual.

(i)    Jika tempat perniagaan utama anda adalah di Brunei, Malaysia atau Singapura, anda bersetuju kepada bidang kuasa bukan eksklusif mahkamah Singapura.

(ii)   Jika tempat perniagaan utama anda adalah di Bangladesh, Kemboja, India, Indonesia, Macau SAR, Republik Rakyat China, Sri Lanka, Thailand, Filipina atau Vietnam, sebarang pertikaian yang timbul akibat atau berkaitan perjanjian ini, termasuk sebarang soalan tentang kewujudannya, kesahan atau pembatalannya, boleh dirujuk dan akhirnya diselesaikan melalui penimbangtaraan di Singapura menurut Peraturan Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (“SIAC”) yang mana peraturan-peraturannya disifatkan terkandung melalui rujukan ke dalam subbahagian ini. Tribunal akan terdiri daripada seorang penimbang tara yang akan dilantik oleh Pengerusi SIAC. Bahasa penimbangtaraan adalah Bahasa Inggeris. Keputusan penimbang tara adalah muktamad, mengikat dan tidak boleh dipertikaikan dan boleh digunakan sebagai asas penghakiman selepas itu dalam negara yang dinyatakan di atas atau di tempat lain. Setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang berkaitan, pihak berkenaan mengetepikan hak mereka untuk sebarang bentuk rayuan atau tindakan seumpamanya kepada mahkamah. Untuk tujuan perjanjian ini sahaja, Republik Rakyat China tidak termasuk Hong Kong SAR, Macau SAR dan Taiwan.

i.      Keseluruhan perjanjian. Perjanjian ini adalah keseluruhan perjanjian yang berkenaan dengan bidang perbincangan dan mengatasi sebarang komunikasi terdahulu atau serentak.

j.      Kekal. Peruntukan berikut akan terus kekal selepas penamatan atau tamat tempoh perjanjian ini: 1, 2, 3d dan f, 4-7, 8d dan h, 9 dan 10. Perjanjian ini akan kekal berkuat kuasa untuk sebarang Terma Langganan.

k.     Bidang kuasa eksport A.S. Produk adalah tertakluk kepada bidang kuasa eksport Amerika Syarikat. Anda mesti mematuhi semua undang-undang yang berkenaan, termasuklah Peraturan Pentadbiran Eksport Amerika Syarikat (U.S. Export Administration Regulations), serta pembatasan pengguna akhir, penggunaan akhir dan destinasi yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan kerajaan lain. Untuk maklumat selanjutnya, lihat http://www.microsoft.com/exporting/.

l.      Force majeure. Kedua-dua pihak tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang kegagalan fungsi akibat daripada sebab selain daripada kawalan wajar pihak-pihak terbabit (seperti kebakaran, letupan, ketiadaan bekalan elektrik, gempa bumi, banjir, ribut kuat, mogok, sekatan, pertikaian buruh, tindakan autoriti sivil atau tentera, perang, keganasan (termasuk keganasan siber), bencana alam, tindakan atau pengecualian pembawa trafik Internet, tindakan atau pengecualian badan kawal selia atau kerajaan (termasuk pelaksanaan undang-undang atau kawal selia atau tindakan kerajaan lain yang memberi impak terhadap pembekalan Perkhidmatan Dalam Talian)). Walau bagaimanapun, bahagian ini tidak berkenaan dengan kewajipan pembayaran anda di bawah perjanjian ini.

m.   Publisiti. Microsoft boleh mendedahkan secara awam (secara lisan dan bertulis) bahawa anda pelanggan Microsoft dan pembeli Produk, termasuk dalam senarai pelanggan Microsoft dan bahan promosi lain.

n.    Pelanggan kerajaan hendaklah berbincang dengan Microsoft. Pelanggan kerajaan hendaklah berbincang dengan Microsoft sebelum penerimaan. Jika anda pelanggan kerajaan, sebelum menerima perjanjian ini, anda hendaklah berbincang dengan wakil Microsoft anda untuk menjamin pematuhan penuh dengan undang-undang tempatan dan proses pemerolehan kerajaan.

o.    Liabiliti statutori. Peruntukkan berikut hanya berkenaan dengan pelanggan di New Zealand.

(i)    Perniagaan. Kami bertindak sebagai “pembekal” (kerana istilah tersebut ditentukan dalam Akta Jaminan Pelanggan 1993 (Consumer Guarantees Act, “CGA”)) bagi Produk, anda mengesahkan bahawa Produk yang kami sediakan di bawah perjanjian ini diperoleh untuk tujuan perniagaan (kerana istilah tersebut ditentukan dalam CGA) dan GCA tidak berkenaan dengan Produk yang dibekalkan oleh Microsoft.

(ii)   Pengguna. Tiada apa-apa dalam perjanjian ini bertujuan untuk mengehadkan hak “pengguna” di bawah CGA di mana Akta berkuat kuasa, kecuali setakat yang dibenarkan oleh Akta dan terma perjanjian ini perlu diubahsuai setakat yang perlu untuk menguatkuasakan niat ini.

p.    Remedi pengguna. Peruntukkan berikut hanya berkenaan dengan pelanggan di Australia:

Walau apa pun perkara di dalam perjanjian ini, pengguna boleh mempunyai faedah hak atau remedi tertentu menurut Akta Persaingan dan Pengguna 2010 (Cth) dan undang-undang negeri dan wilayah yang serupa di Australia berkenaan dengan yang mana liabiliti tidak boleh dikecualikan. Jika sedemikian, maka setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, liabiliti sedemikian adalah terhad, mengikut pilihan kami, dalam kes barangan kepada sama ada (1) penggantian barangan atau (2) pembaikan kecacatan barangan dan dalam kes perkhidmatan kepada sama ada (1) pembekalan semula Perkhidmatan atau (2) kos pembekalan semula perkhidmatan. Undang-undang Australia memerlukan kami memaklumkan pembeli pelanggan mengenai barangan Microsoft bahawa: “Barangan kami datang dengan jaminan yang tidak boleh dikecualikan di bawah Undang-undang Pengguna Australia. Anda berhak mendapat barangan gantian atau bayaran balik untuk kegagalan besar dan pampasan untuk sebarang kerugian atau kerosakan wajar yang lain. Anda juga berhak memastikan barangan tersebut diperbaiki atau digantikan jika barangan tidak mempunyai kualiti yang boleh diterima dan kegagalan tidak menyebabkan kerosakan besar”.

q.    Pihak berkuasa yang mengikat kontrak. Jika anda individu yang menerima terma dan syarat ini bagi pihak entiti, anda memperakui bahawa anda mempunyai kuasa undang-undang untuk mengikat perjanjian ini bagi pihak entiti.

10.         Definisi.

“Dasar Penggunaan Boleh Dterima” ditetapkan dalam Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian atau disediakan secara jelas oleh Microsoft.

“Sekutu” bermakna mana-mana entiti sah yang dimiliki oleh pihak, yang memiliki pihak atau di bawah pemilik bersama parti tersebut. “Pemilikan” bermakna, untuk tujuan definisi, kawalan lebih daripada 50% kepentingan dalam sesebuah entiti.

“Tawaran Gabungan” bermakna Langganan yang merupakan gabungan Tawaran Standard dan Tawaran Penggunaan.

“Tawaran Penggunaan” bermakna anda membayar berdasarkan pada penggunaan sebenar dalam bulan sebelumnya tanpa komitmen pendahuluan. Bayaran adalah berdasarkan pada bayaran berkala.

“Data Pelanggan” bermakna semua data, termasuk semua teks, bunyi, perisian atau fail imej yang disediakan oleh anda atau Sekutu anda atau diberi bagi pihak Sekutu anda, kepada kami menerusi penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian anda.

Perkhidmatan Dalam Talian” bermakna sebarang perkhidmatan dalam talian Microsoft yang dilanggan di bawah perjanjian ini dan diperuntukkan melalui Portal.

Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian” bermakna hak penggunaan yang tersedia di http://www.microsoft.com/licensing/onlineuserights. Hak Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian termasuk terma yang mentadbir penggunaan Produk oleh anda tambahan kepada terma dalam perjanjian ini.

“Pesanan” bermakna pesanan untuk Produk menerusi Portal. Pesanan mungkin termasuk berbilang Langganan kepada Produk.

“Portal” bermakna tapak web Perkhidmatan Dalam Talian masing-masing yang boleh ditemui di

http://www.microsoft.com/licensing/online-services/how-to-buy.aspx#tab=2 atau di tapak web alternatif yang kami kenal pasti.

“Produk” bermakna sebarang Perkhidmatan Dalam Talian dan Perisian.

“SLA” bermakna komitmen perjanjian peringkat perkhidmatan yang kami buat berkenaan dengan penghantaran dan/atau prestasi Perkhidmatan Dalam Talian, seperti yang diterbitkan di http://www.microsoft.com/licensing/contracts atau di tapak alternatif yang kami kenal pasti.

“Perisian” bermakna perisian yang kami sediakan untuk pemasangan pada peranti anda sebagai sebahagian daripada Langganan anda atau penggunaan dengan Perkhidmatan Dalam Talian untuk mendayakan kefungsian tertentu.

“Tawaran Standard” bermakna anda mempersetujui lebih awal untuk membeli kuantiti khusus Produk untuk digunakan sepanjang Tempoh. Anda membayar secara berkala sepanjang Tempoh sebelum penggunaan.

“Langganan” bermakna pesanan untuk kuantiti Produk untuk Tempoh yang ditentukan (cthnya 30 hari atau 12 bulan) seperti yang ditentukan di Portal.

“Tempoh” bermakna tempoh Langganan untuk menggunakan Produk tertentu seperti yang diterangkan di Portal.