Klik Di sini Untuk Memasangkan Silverlight*
MalaysiaTukar|Semua Tapak Microsoft
Microsoft

Pernyataan Privasi untuk Program Peningkatan Pengalaman Pelanggan Microsoft®

Dikemas kini: Februari 2009

Microsoft komited dalam membantu melindungi privasi anda. Pernyataan privasi ini menerangkan amalan pengumpulan dan penggunaan data untuk laporan Program Peningkatan Pengalaman Pelanggan Microsoft (CEIP) yang akan dihantar kepada Microsoft jika anda menyertai program ini. Pernyataan ini tidak terpakai untuk laman Microsoft dalam talian atau luar talian, produk, atau perkhidmatan yang lain.

Pengumpulan dan Penggunaan Maklumat

Apabila anda menyertai, kami mengumpul maklumat asas tentang cara anda menggunakan program anda, komputer atau peranti anda, dan peranti yang tersambung. Kami juga mengumpul maklumat tentang cara setiap satu disediakan dan prestasinya. Laporan ini dihantar kepada Microsoft untuk membantu memperbaik ciri yang pelanggan kami paling kerap gunakan dan untuk mencipta penyelesaian kepada masalah umum.

Anda boleh memilih untuk menyertai Program Peningkatan Pengalaman Pelanggan biasanya semasa pertama kali anda memasang produk Microsoft. Untuk mengubah penyertaan anda kemudian, klik menu Bantuan dalam kebanyakan program Microsoft, dan kemudian klik Pilihan Maklum Balas Pelanggan. (Untuk sesetengah produk, anda mungkin perlu menyemak menu tetapan atau pilihan).

Laporan CEIP secara amnya termasuk maklumat tentang:

Konfigurasi, seperti berapa banyak pemproses yang terdapat dalam komputer anda, berapa banyak sambungan rangkaian yang anda gunakan, sistem pengendalian yang komputer anda sedang jalankan, resolusi skrin bagi peranti paparan, kekuatan isyarat wayarles antara komputer anda dan peranti pemain media, dan jika sesetengah ciri seperti teknologi wayarles Bluetooth atau sambungan USB kelajuan tinggi dihidupkan.

Prestasi dan kebolehpercayaan, seperti berapa cepat program memberikan respon apabila anda mengklik butang, berapa banyak masalah yang anda alami dengan program atau peranti, dan berapa cepat maklumat disampaikan atau diterima melalui sambungan rangkaian.

Penggunaan program, seperti ciri yang paling kerap anda gunakan, berapa kerap anda melancarkan program, dan berapa banyak folder yang biasanya anda cipta di desktop anda.

Ciri internet yang didayakan dalam perisian akan menghantar maklumat tentang komputer anda (maklumat komputer standard) ke laman-laman web yang anda kunjungi dan perkhidmatan web yang anda gunakan. Maklumat ini secara amnya tidak mengenal pasti secara peribadi. Maklumat komputer standard lazimnya termasuk maklumat tertentu tentang perisian dan perkakasan komputer anda, seperti alamat IP anda, versi sistem pengendalian, versi penyemak imbas, ID perkakasan anda (yang menunjukkan pengilang peranti, nama peranti, dan versi), dan tetapan serantau dan bahasa anda. Walaupun semasa setiap laporan CEIP dihantar kepada Microsoft, maklumat komputer standard turut sama dihantar, Microsoft tidak menyimpan alamat IP anda bersama laporan CEIP anda.

CEIP menjana satu pengecam unik global (GUID) yang disimpan di komputer anda untuk mengecamnya dengan unik. GUID ialah nombor yang dijana secara rawak; ia tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi dan tidak digunakan untuk mengecam anda. CEIP menggunakan GUID untuk menentukan berapa luas maklum balasnya dan bagaimana untuk memberi keutamaan kepadanya. Sebagai contoh, GUID membolehkan Microsoft membezakan antara seorang pelanggan yang mengalami masalah seratus kali dengan pelanggan lain yang mengalami masalah yang sama sekali. GUID disimpan di komputer anda dan dihantar bersama setiap laporan CEIP. Laporan CEIP tidak dengan sengaja mengandungi apa-apa maklumat hubungan tentang anda (seperti nama, alamat, atau nombor telefon anda). Walau bagaimanapun, sesetengah laporan mungkin mengandungi pengecam individu yang tidak disengajakan (selain daripada GUID), seperti nombor siri peranti yang bersambung ke komputer anda. Microsoft menapis maklumat yang terkandung dalam laporan CEIP untuk cuba mengeluarkan mana-mana pengecam individu yang mungkin dikandungnya.

Microsoft menggunakan maklumat CEIP untuk memperbaik perisian kami. Kami mungkin berkongsi maklumat CEIP dengan rakan kongsi, tetapi maklumat tidak boleh digunakan untuk mengecamkan anda.

Maklumat yang dikumpulkan oleh atau dihantar kepada Microsoft boleh disimpan dan diproses di Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain di mana Microsoft atau syarikat gabungannya, subsidiarinya, atau ejennya mempunyai kemudahan. Microsoft boleh mendedahkan maklumat ini jika diperlukan untuk berbuat demikian oleh undang-undang atau secara jujurnya percaya bahawa tindakan sedemikian perlu untuk: (a) mematuhi edik undang-undang atau mematuhi proses perundangan yang dikenakan terhadap Microsoft atau laman berkenaan; (b) melindungi dan mempertahankan hak atau harta Microsoft dan keluarga laman webnya, atau (c) bertindak dalam keadaan mendesak untuk melindungi keselamatan peribadi kakitangan Microsoft, pengguna perisian atau perkhidmatan Microsoft, atau orang awam. Microsoft kadang kala mengupah syarikat lain untuk memberi perkhidmatan terhad bagi pihaknya, seperti menyediakan sokongan pelanggan, memproses transaksi, atau melaksanakan analisis statistik ke atas laporan. Microsoft akan memberikan syarikat tersebut hanya maklumat yang mereka perlukan untuk menjalankan perkhidmatan. Mereka diperlukan untuk menyimpan kerahsiaan maklumat ini dan dilarang daripada menggunakannya untuk sebarang tujuan lain.

Keselamatan

Microsoft komited dalam membantu melindungi keselamatan maklumat yang kami kumpul. CEIP menggunakan pelbagai teknologi dan prosedur keselamatan untuk membantu melindungi laporan daripada akses, penggunaan atau pendedahan yang tidak dibenarkan. Sebagai contoh, kami menyimpan maklumat yang anda berikan dalam sistem komputer dengan akses terhad, yang terletak dalam kemudahan terkawal.

Perubahan terhadap Pernyataan ini

Microsoft mungkin sekali sekala mengemas kini pernyataan privasi ini. Apabila ini berlaku, kami juga akan mengubah tarikh "terakhir dikemas kini" pada bahagian atas pernyataan privasi tersebut. Kami menggalakkan anda untuk menyemak pernyataan privasi ini secara berkala untuk sentiasa mengetahui bagaimana kami membantu untuk melindungi maklumat yang kami kumpul.

Untuk Mendapatkan Maklumat Lanjut

Microsoft mengalu-alukan komen anda berkaitan dengan pernyataan privasi ini. Jika anda percaya bahawa Microsoft tidak mematuhi pernyataan ini, sila hubungi kami melalui e-mel atau pos, dan kami akan menggunakan usaha yang munasabah untuk menentukan dan memulihkan masalah dengan segera.

CEIP Privacy
Microsoft Corporation
One Microsoft Way
Redmond, Washington 98052
Hantarkan e-mel kepada askceip@microsoft.com
Untuk mendapatkan butiran hubungan subsidiari atau syarikat gabungan Microsoft di negara atau rantau anda, lihat www.microsoft.com/worldwide.



© 2014 Microsoft Corporation. All rights reserved. Hubungi Kami |Terma Penggunaan |Tanda Dagangan |Kenyataan Privasi